|
Pertanian di Negara Brunei
Darussalam pada awalnya adalah
merupakan aktiviti ekonomi dan
kebudayaan masyarakat kampung.
Kini, sektor pertanian telah melalui
proses transformasi ke arah
pembangunan agribisnes yang
dinamik dan berpandukan pasaran.
Dalam konteks tersebut, kegiatan
pertanian yang bersifat tradisi perlu
mengharungi peralihan
kemodenan, supaya ianya dapat
berkembang maju dengan
berasaskan pengetahuan serta
inovasi sains dan teknologi.
Dengan itu, pertanian di negara ini
akan berupaya meningkatkan
pengeluaran, memperbaiki
produktiviti dan kualiti hasil
tempatan serta memperkukuhkan
lagi daya saing bagi menghadapi
cabaran globalisasi dan liberalisasi
pasaran serantau dan antarabangsa.
Lantaran itu, pengeluaran pertanian
bukan sahaja mengsasarkan
pasaran tempatan, tetapi juga
pasaran serantau dan antarabangsa.
Pembangunan pertanian moden
sememangnya memerlukan
dokongan institusi bagi
meningkatkan tahap keupayaan
pengeluaran sektor pertanian.
Dalam hubungan ini, Jabatan
Pertanian senantiasa berusaha
memperbaiki prasarana pertanian
bagi mendokong perkembangan
sektor swasta. Bagaimanapun,
kejayaan program pembangunan
tersebut adalah bergantung kepada
kerjasama yang erat di antara
sektor awam dan sektor swasta.
Oleh itu, adalah mustahak bagi
sektor swasta tampil ke depan
untuk merebut semua peluang
yang dibawakan oleh arus
pembangunan tersebut. Pada masa
yang sama, kewujudan teknologi
dan inovasi adalah penting untuk
digunapakai ke arah mengangkat
tahap pembangunan sektor
agribisnes di Negara ini.
Tidak dinafikan semangat
keusahawanan adalah penting
dalam proses penerusan fasa
perkembangan ekonomi pertanian.
Tambahan pula dalam keadaan
perkembangan sains dan teknologi
yang begitu pesat, usahawan
tempatan perlu menyiapkan diri
dengan pengetahuan terkini demi
meningkatkan keupayaan
keusahawanan mereka. Justeru,
usahawan tempatan disarankan
supaya meningkatkan keupayaan
keusahawanan masing-masing dan
bertindak cergas menceburi
pelbagai bidang agribisnes dalam
ekonomi baru yang berasaskan
pengetahuan.
|