HALAMAN UTAMA    WAWASAN    ORGANISASI     MIPR Portal    KERAJAAN BRUNEI    VERSI INGGERIS
 
   
 
 
 

 
 
ARAHTUJU MASA HADAPAN

Langkah kita seterusnya adalah membangunkan industri agribisnes yang menggunakan sumber asli serantau yang murah untuk membuat produk-produk makanan untuk pasaran eksport dan makanan tambah-nilai. Dengan cara ini, pertanian tidak kekal mundur, sebaliknya bertukar menjadi industri yang dinamik dan didorong pasaran.

Menyedari betapa pentingnya agribisnes diterapkan ke dalam arus utama ekonomi negara, Jabatan Pertanian adalah komited terhadap perubahan demi memberi khidmat yang lebih baik kepada sektor pertanian.

Jabatan akan mengukuhkan segala usaha untuk menempa pembangunan di atas pencapaian yang lalu, sambil mencipta dan meneroka arena-arena baru. Dalam konteks ini, kita akan terus menyediakan segala program perkhidmatan dokongan yang lebih berkesan dan tidak bercanggah dengan perjanjian antarabangsa. Ini adalah untuk memperkuatkan lagi sektor-sektor pengeluaran utama dan untuk membangunkan industri pemprosesan makanan dengan menyediakan iklim makrobisnes yang menarik pelaburan.

Dengan yang demikian, Jabatan akan terus berusaha menjalinkan semua kegiatan pengeluaran, pemprosesan, perdagangan input pertanian, perdagangan hasil pertanian serta lain-lain perkhidmatan yang berkaitan dalam satu lingkaran. Kini terdapat petanda yang agribisnes sudah mula berkembang dengan hadirnya peladangan komersil besar-besaran dalam penternakan ayam, pusat-pusat pemprosesan moden dan perkhidmatan ikhtisas profesional yang berkaitan dengan industri makanan.

Setelah menyemak semula kedudukan Jabatan, kita sedang berusaha untuk memperbaiki sistem perlaksanaan dalam Jabatan. Ini termasuklah mengkaji semula dasar pertanian, program dokongan, sistem pemasaran, perundangan dan lain-lain perkara yang mempengaruhi perkembangan arahtuju baru ini.

Kita menerima perubahan peranan ini dengan hati terbuka dan yakin. Insya Allah peranan Jabatan Pertanian dari sudut baru ini akan memimpin sektor pertanian di abad ke-21, bukan sahaja setakat memenuhi keperluan sekuriti permakanan negara, bahkan juga mewujudkan peluang-peluang perniagaan baru dan pekerjaan yang menarik dan sesuai bagi penduduk Brunei Darussalam.